Wednesday, February 4, 2009

SEJARAH PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR


SEJARAH PENGANJURAN PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR

1. Pameran buku peringkat antarabangsa yang pertama telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1972 dan dikenali sebagai International Exhibition of Book Trade and Industry. Ia dianjurkan oleh pengusaha buku tempatan sempena Tahun Buku Antarabangsa yang diisytiharkan oleh UNESCO.

2. Selepas itu, beberapa pameran lain yang lebih kecil telah diadakan oleh syarikat-syarikat persendirian. Pada tahun 1976, Persatuan Penerbit Buku Malaysia telah mengadakan “Pameran Buku Kebangsaan” di Dewan Perhimpunan China, Kuala Lumpur dengan harapan untuk menjadikannya sebagai acara tahunan.

3. Penglibatan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dalam aktiviti promosi buku bermula pada tahun 1982 melalui penganjuran “Pesta Buku Malaysia” dengan kerjasama persatuan industri perbukuan tempatan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

4. MBKM, sewaktu penubuhannya pada tahun 1968 dikenali dengan nama Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan Malaysia (MKBK) manakala urus setianya diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Penubuhan MKBK sebagai sebuah badan khas yang diberi peranan dan tanggungjawab ke arah memajukan bidang perbukuan negara adalah hasil saranan pakar-pakar buku dari Asia Pasifik yang bersidang di Tokyo, Jepun pada tahun 1966 atas undangan UNESCO.

5. Walaupun pesta buku di peringkat negara dan antarabangsa diadakan buat pertama kalinya pada tahun 1972, namun bagi MBKM, acara “Pesta Buku Malaysia” pada tahun 1982 adalah merupakan aktiviti yang julung-julung kali diadakan secara besar-besaran dengan cara terancang dan berterusan sebagai aktiviti tahunan. Pada tahun 1988, pesta buku tersebut kemudiannya dikenali sebagai “Pesta Buku Kuala Lumpur” (PBKL) apabila lokasi penganjurannya berpindah ke Changkat Pavillion.

6. Dari Changkat Pavilion, pesta buku ini dipindahkan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan pada tahun 1991, Pesta Buku Kuala Lumpur sekali lagi telah dijenamakan semula dengan nama “Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur” (PBAKL) atau Kuala Lumpur International Book Fair (KLIBF), apabila penyertaannya dibuka kepada pengusaha buku dari luar negara.

7. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Kali Ke-27 yang diadakan pada 4 hingga 13 April 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada tahun 2008 (PBAKL 2008) adalah merupakan pesta buku antarabangsa yang paling berjaya dalam sejarah 27 tahun penganjurannya.

8. Sebanyak 4 ruang pameran telah diperuntukkan untuk menempatkan 702 gerai pameran pada PBAKL 2008, iaitu:

i) Legar Putra (Aras 2);
ii) Dewan Tun Razak 2 (Aras 3);
iii) Dewan Tun Razak 3 (Aras 3); dan
iv) Dewan Tun Razak 4 (Aras 4).

9. Jumlah pengunjung ke PBAKL kali ke-27 pada tahun 2008 yang berlangsung selama 10 hari juga telah mencatatkan bilangan pengunjung yang terbanyak dalam sejarah PBAKL, iaitu seramai 2.2 juta orang.

10. Pertambahan penyertaan syarikat pengusaha buku dari dalam dan negara luar juga telah menjadikan PBAKL sebagai salah satu pesta buku yang terunggul di rantau ini. Pada tahun 2008, sebanyak 202 buah syarikat dan agensi dari dalam dan luar negara telah menyertai PBAKL, iaitu:

i) 136 buah syarikat tempatan;
ii) 33 buah agensi kerajaan dalam negeri;
iii) 30 buah syarikat luar negara; dan
iv) 3 buah agensi luar negara.

1 comment: